SEKUMPULAN penjenayah bukan sahaja menyebabkan seorang peniaga kerugian lebih RM125,000 selepas memecah masuk kediaman di Taman Bukit Sri Senawang, Sungai Gadut, Seremban, hari ini, malah turut melarikan alat perakam kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak identiti mereka dikesan pihak berkuasa.
Sumber polis berkata, mangsa yang berusia 32 tahun hanya menyedari kediamannya menjadi sasaran penjenayah terbabit pada 6.30 pagi selepas dihubungi seorang adik lelakinya.
Katanya, mangsa yang berada di Kuala Lumpur ketika kejadian bergegas pulang selepas dimaklumkan dan sebaik tiba dia mendapati pintu hadapan dipecahkan selain jeriji tingkap di bahagian belakang dipotong.
"Pemeriksaan mendapati peti keselamatan dalam bilik dikopak dan kehilangan jam tangan mewah bernilai RM83,000 serta mata wang asing berjumlah RM10,000.
“Turut dilarikan wang ibu mangsa berusia 60-an berjumlah RM30,000 yang disimpan dalam peti keselamatan, dua telefon pintar, komputer riba dan jam tangan bernilai RM2,500.
“Tidak cukup dengan itu, penjenayah turut melarikan alat perakam CCTV bagi mengelak identiti mereka didedahkan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Sumber berkata, mangsa yang kerugian lebih RM125,000 membuat laporan di Balai Polis Senawang pada 8.15 pagi dan siasatan polis mendapati penjenayah memasuki kediaman antara jam 1 hingga 6.30 pagi.
"Ketika kejadian, mangsa berada di Kuala Lumpur manakala adik lelakinya meninggalkan rumah pada 12.30 tengah malam. Ibu mangsa bersama ahli keluarga lain pula bercuti di China," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk kediaman.
No comments:
Post a Comment