Sunday, 18 March 2018

Abang bomba 'tunjuk' power





SERAMAI 500 kanak-kanak dari taman asuhan kanak-kanak sekitar Serdang diberi pendedahan awal mengenai keselamatan kebakaran melalui Kelab Keselamatan Kebakaran Kanak-kanak (3K) dalam program Hari Bomba Bersama Masyarakat anjuran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang, pagi semalam.
Program yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat itu antara lain bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung pencegahan kebakaran dan pengurusan ketika berlaku bencana.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Azmi Osman berkata, banyak aktiviti yang diselitkan sepanjang program tiga hari itu bertujuan mendekatkan masyarakat dengan bomba.
"Program ini adalah inisiatif Ketua BBP Serdang sendiri, yang menyahut seruan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar yang mahu rakyat diberi pendedahan mengenai keselamatan kebakaran.
"Satu daripada program yang kami adakan adalah menjemput 500 kanak-kanak dari 11 tadika di kawasan ini. Mereka diberi pendedahan mengenai tugasan bomba, teknik menyelamatkan diri, peralatan bomba dan sebagainya," katanya ketika ditemui, pagi tadi.
Antara aktiviti yang dijalankan semalam adalah pertandingan mengenal peralatan bomba, penyelamatan aras tinggi, pameran bomba, demonstrasi pemadaman dapur gas, pertandingan membawa, membentang dan menggulung hos dan banyak lagi.
Beliau berkata, orang ramai di sekitar daerah itu diminta untuk menghadirkan diri ke program berkenaan hari ini, kerana pelbagai program menarik lain bakal diadakan.
"Selain memberi pendedahan kepada kanak-kanak, kami juga menjemput pengusaha hotel bajet, rumah orang tua, inap desa dan pemilik pusat tahfiz untuk diberikan penerangan mengenai keselamatan kebakaran," katanya.

No comments:

Post a Comment

Close