Sunday, 18 March 2018

James Bond Teluk Intan




Kuala Lumpur: Nyaris maut bersama mandur estet dan lapan pegawai serta anggota Pasukan F pada 10 Mei 1986.
Itu antara pengalaman yang sukar dilupakan bekas pegawai Pasukan F Sub Inspektor S Sritharan, 60, yang sudah bersara daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 3 Mac lalu namun kenangan itu masih utuh dalam ingatannya.
Anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu berkata, dia menyertai PDRM pada 9 September 1978 sebelum ditempatkan dalam Batalion 21 Pasukan Polis Hutan (PPH) di Triang, Pahang pada April 1979 selepas menjalani kursus asas konstabel di Pusat Latihan Polis Jalan Gurney, Kuala Lumpur.
Katanya, ketika bertugas dalam PPH dia bersama beberapa rakan setugas menghadiri sesi temu duga untuk menyertai Pasukan F sebelum dipilih secara rasmi untuk menyertai pasukan elit itu pada 3 Januari 1983.
“Sebaik menyertai Pasukan F, saya bersama dua lagi rakan dibawa ke sebuah rumah di Jalan Gurney sebelum dikuarantin di situ dan hanya dibawa keluar setiap pagi ke Tasik Titiwangsa untuk latihan kecergasan.
“Latihan pertama untuk tujuan utama adalah belajar menoreh getah di sebuah ladang getah di Kuang, Selangor sebelum ditugaskan untuk menyamar sebagai penoreh getah dalam Op Ular di sebuah ladang getah berdekatan stesen kereta api lama di Kuala Kubu Bharu, Selangor,” katanya.


Menurutnya, selepas melakukan penyamaran selama beberapa bulan di ladang itu, dia mendapati tiada unsur atau pergerakan komunis di ladang itu sebelum ibu pejabat Pasukan F meminta dia balik ke pangkalan untuk tugasan lain.
“Tugasan kedua saya adalah menyamar sebagai pekerja ladang selama 11 bulan di Ladang Kepong Meh, Mentakab, Pahang pada Jun 1985.
“Ketika itu, saya baru berusia 22 tahun dan sepanjang penyamaran saya perlu mencari maklumat mengenai Ketua Pasukan Kerja Bersenjata (AWF) Ke-15 Parti Komunis Malaya (PKM), District Committee Member (DCM) Wong Chew Nam atau Ah Poh Suk dan pengikutnya yang dikatakan sering datang ke situ untuk mendapatkan bekalan makanan,” katanya.
Menurutnya, Ah Poh Suk serta pengikutnya amat dikehendaki kerana bergerak aktif di Pahang Barat bagi menjalankan propaganda dan kerap bertempur dengan pasukan keselamatan, memeras ugut tauke balak di sekitar Pahang selain memaksa pekerja estet membeli bekalan makanan untuk mereka.
“Di sana saya tinggal dengan mandur ladang dan keluarganya.
“Saya perlu berhati-hati agar identiti tidak terbongkar kerana saya sendiri beberapa kali berurusan dengan Ah Poh Suk termasuk membantu membelikan bekalan makanan bagi mendapatkan kepercayaannya dan dalam masa yang sama melaporkan setiap pergerakan pengganas komunis itu kepada ibu pejabat.
“Meskipun sudah dilatih untuk kerja penyamaran namun pertemuan pertama bersama anggota PKM yang menyapa saya dari belakang membuatkan saya takut, gementar namun demi tugas, saya menjadi rapat dengan mereka dan sepanjang melakukan penyamaran, saya berjumpa dengan mereka sebanyak 11 kali,” katanya.
Bapa kepada dua anak itu berkata, ketika itu mereka tidak mempunyai telefon bimbit seperti sekarang dan setiap kali hendak menyalurkan maklumat kepada ibu pejabat, dia terpaksa pergi ke pekan mencari pondok telefon dan dalam masa sama perlu berhati-hati kerana jika salah langkah identitinya akan terbongkar selain membahayakan diri.
Sepanjang berada di Ladang Kepong Meh, katanya, dia menggunakan nama Ragavan malah menggunakan kad pengenalan orang awam bagi tujuan penyamaran.
Menceritakan kembali kejadian pada 10 Mei 1986, Sritharan berkata, tiga pegawai dan lima anggota sudah tiba di rumahnya di dalam ladang itu seawal jam 3 pagi pada hari berkenaan sebelum bersembunyi di dalam stor baja di rumah yang sama.



“Kebetulan hari itu merupakan hari pertama puasa, namun pasukan kami sudah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan di dalam stor berkenaan.
“Pasukan serbuan menunggu dengan sabar kedatangan Ah Poh Suk serta pengikutnya dan penantian berlanjutan hingga ke malam.
“Kira-kira jam 8 malam kami terdengar suara lelaki dan wanita bercakap dalam bahasa Tionghoa dan dua lelaki yang dipercayai Ah Poh Suk dan orang kanannya berada di ruang tamu manakala dua wanita termasuk isterinya berada di ruang dapur.
“Pada mulanya, Ah Poh Suk bertanya di mana isteri dan anak-anak mandur dan selepas berpuas hati mereka ke kenduri di rumah saudara, kami berbual kosong di ruang tamu dan sambil menunggu makanan yang sedang disediakan oleh isterinya di dapur,” katanya.
Katanya, sepucuk pistol diselit di pinggang Ah Poh Suk dan sebutir bom tangan tergantung di dadanya manakala dua laras senjata panjang diletak di sebelah kerusi rotan yang mereka duduk.
“Isteri Ah Poh Suk dan seorang lagi pengikut wanita pula berada di dapur untuk menyediakan makanan juga membawa senjata masing-masing yang diletakkan di dinding.
“Selepas 10 minit menunggu masa yang sesuai Razak, Borhan, Hussain, Hussin, Yusof dan Mazaruddin menyerbu keluar dari stor baja dan terus pergi ke arah Ah Poh Suk. Zahaliman bersama Riboet menuju keluar rumah melalui pintu belakang manakala Hussin menuju ke arah dapur untuk menahan dua pengganas wanita.
“Menyedari kehadiran mereka, Ah Poh Suk terus memegang bom tangan di dadanya menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan ke arah pengganas itu dan orang kanannya.
“Hussin pula terpaksa menembak dua pengganas wanita di dapur yang turut mengambil senjata mereka untuk bertindak balas,” katanya.
Beliau berkata, semua mereka termasuk anggota Pasukan F menarik nafas lega kerana pin bom tangan belum sempat ditarik oleh Ah Poh Suk jika tidak pasti nyawa kesemua mereka yang berada di dalam rumah melayang.
“Bagaimanapun kami terpaksa berjaga-jaga hampir dua jam sementara menunggu pasukan bantuan tiba kerana dibimbangi pengikut lain Ah Poh Suk akan melakukan serangan balas kami bergerak pulang ke Bukit Aman. Ketika itu baru identiti diri saya terbongkar dan kami membawa mandur bersama keluarganya ke lokasi lain demi keselamatan mereka,” katanya.
Selain kejayaan Op Kelisa di ladang berkenaan, satu lagi pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan Sritharan ialah dia turut bertemu jodoh dengan isterinya Minahchi di ladang tersebut.


No comments:

Post a Comment

Close