Tuesday, 20 March 2018

Rangsang semangat jurufoto wanita





Berjalan di lorong demi merakam potret mahupun senario berlaku di sekitar laluan berkenaan antara karya seni yang cukup asli dan biasanya perakam lensa itu dipanggil jurugambar jalanan.
Genre seni foto jalanan disifatkan masih begitu asing terutama dalam kalangan wanita kerana jumlah jurugambar yang menyertai aktiviti ini begitu terhad. Sedangkan di peringkat sejagat kualiti seni dihasilkan beberapa nama tersohor seperti Vivian Maier, Diane Arbus, Lisette Model dan ramai lagi memberi inspirasi kepada artisan foto jalanan serata dunia.
Komuniti Foto Jalanan Malaysia (FJM) juga berharap lebih ramai jurufoto jalanan wanita yang berpotensi mampu merakam gambar yang cantik untuk dikongsi dengan peminat seni ini di serata dunia.
Pengasas FJM Mohd Afzam Abdullah yang lebih mesra dengan panggilan Chot dalam kalangan komuniti itu menyatakan, selepas lima tahun penubuhan persatuan berkenaan dia mengharapkan penyertaan lebih aktif daripada pengkarya wanita.
“Sebenarnya penganjuran Ladies Photowalk ini adalah acara lapangan yang dijalankan secara bulanan dan dikendalikan rakan FJM kami iaitu Maureen Jafrey dan Siti Aishah. Kami sudah lama dalam genre ini mengharapkan kemunculan bakat baru terutama wanita menyertai aktiviti seni foto jalanan ini.

“Apabila menyertai aktiviti seperti ini, setidak-tidaknya mereka tidak perlu bimbang mengenai aspek keselamatan kerana ia dilakukan dalam berkumpulan. Keadaan sekarang tidak seperti 10 tahun dulu ketika awal pembabitan saya dalam dunia seni foto jalanan ini. Dulu orang awam kurang selesa dengan kehadiran saya yang membawa kamera, tetapi saya tebalkan muka datang ke tempat sama setiap tahun sehingga diterima masyarakat setempat.
“Apabila saya tunjuk dan kongsikan gambar lama mereka, sama ada lima atau 10 tahun lalu, reaksi mereka berubah. Sebahagiannya terlalu gembira kerana dengan adanya individu seperti saya yang merakam memori lama untuk dikongsi bersama mereka. Semuanya menjadi memori yang sangat berharga.
“Jadi saya mahu seni foto jalanan ini bukan sekadar yang dinikmati sendiri, tetapi boleh menjadi medium mendekati dan mengenali komuniti setempat dengan cara unik selain menghormati kehadiran mereka di sekeliling kita.
“Tahun ini kami berkolaborasi dengan TC Cafe untuk memapar hasil kerja terbaik jurufoto jalanan dan pada masa sama berfungsi sebagai pusat jualan hasil kerja artis FJM. Semoga ia menjadi perangsang kepada lebih ramai peminat fotografi untuk turun padang terutama jurufoto wanita,” katanya.
Bagi peserta dari kota Kinabalu Sabah, Maia Assan, dia tidak kisah mengorbankan wang ringgit semata-mata dapat menyertai program foto jalanan anjuran FJM.
“Rasa berbaloi kerana di sini saya dapat belajar banyak perkara dalam menghasilkan gambar berkualiti. Mereka ini tidak lokek berkongsi meskipun pertama kali mengenali saya. Mereka cukup terbuka meskipun berlainan bangsa, budaya mahupun profesion.
“Setidaknya mereka dapat kongsi lokasi menarik untuk mengambil gambar, tetapi yang paling penting bagi wanita, saya berasa selamat apabila bergerak dalam kumpulan seperti ini. Tiada caj dikenakan dan semua itu menarik lebih ramai peminat seni foto untuk turun padang,” katanya.
Sementara itu, pelancong dari Perancis Karine Bizard berkata, dia menantikan program sebegini yang sesuai dengan minatnya terhadap pengisian berbentuk seni foto dan sosial.
“Saya merancang untuk berada di Malaysia selama dua bulan dan mencari program sesuai untuk disertai. Jadi apabila melihat iklan mengenainya, saya segera mendaftar. Menerusi pengalaman ini saya belajar sebenarnya lebih baik membawa gajet yang minimum untuk aktiviti lapangan kerana jurufoto perlu banyak berjalan bagi merakam subjek menarik,” katanya berharap komuniti ini terus menganjurkan program berkenaan pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Close