Thursday, 8 March 2018

Kahwin Jangan Fikir Nak Seronok Je Bro, Simpan Duit Masa Bujang Dulu Baru Fikir Pasal Nak Berumahtangga





Mengharungi alam perkahwinan bukan mudah, terlalu banyak onak duri yang perlu ditempuh oleh setiap pasangan suami isteri sepanjang menjalani kehidupan berumah tangga. Oleh itu persediaan awal dalam perkahwinan terutamanya dari sudut kewangan mampu merancang perjalanan kehidupan berumah tangga agar lebih teratur.

Perkongsian oleh Ibrahim Musa yang tular di laman sosial facebook ini wajar dijadikan panduan bagi lelaki bujang terutamanya sebelum anda mengambil keputusan untuk bergelar seorang suami. Berpijak di dunia realiti, zaman sekarang begitu mencabar dari segi kewangan jadi pentingnya anda sebagai bakal suami mewujudkan simpanan tunai sebelum mendirikan rumah tangga.

Jangan ambil mudah, kerana sekiranya tiada persefahaman dan perancangan kewangan yang rapi, maka timbullah pelbagai kes penceraian seperti yang dipaparkan media walaupun pasangan baru sahaja berkahwin.

Jom kita ikuti perkongsian beliau seperti di bawah ini. Semoga bermanfaat.

Kepada lelaki-lelaki bujang di luar sana. Tolonglah wujudkan simpanan tunai sebelum kalian mula mendirikan rumah tangga dan membina keluarga.

Kenapa?

Sebab zaman sekarang adalah zaman yang sangat mencabar, terutamanya daripada segi kewangan.

TANGGUNGJAWAB

Selepas berkahwin, tanggungjawab yang kau pikul sebagai seorang suami semakin besar.





Kalau dulu, kau boleh setakat makan megi setiap hari. Ataupun sekadar nasi putih & telur goreng semata-mata. Selepas berkahwin dan ada anak, takkan nak harap keluarga kau makan menu yang sama.

Kalau dulu, kau boleh beli seluar baru, kemudian pakai sampai lusuh dan koyak. Kasut pun cuma sepasang. Itulah kasut pergi kerja, itulah kasut untuk berjalan, dan itulah juga kasut kau berjogging & bermain futsal.

Selepas kahwin, semua keperluan isteri dan anak-anak terletak di bawah tanggungjawab suami. Bila anak kau lahir, pakaian untuk "newborn" dah tak boleh muat selepas umur dia sebulan. Kena beli baju yang sesuai mengikut tumbesaran dia.

Sementara anak kau masih menyusu dengan ibunya, mungkin jimat sikit. Tapi ada sesetengah kes, susu ibu dah kering selepas beberapa bulan. Maka bertambahlah kos untuk susu dan pampers.

Keperluan isteri macam mana?

Betul, isteri mungkin bekerja dan ada pendapatan sendiri. Tapi kau harus juga semat dalam hati, pakaian dan tudung untuk isteri kau menutup aurat tu, tanggungjawabnya jatuh pada siapa?

Suami.

Kalau dulu, masa bujang kau boleh duduk menyewa beramai-ramai dengan kawan. Selepas kahwin, menyediakan tempat tinggal dan berteduh yang selesa itu adalah keperluan asas yang juga adalah tanggungjawab suami. Tak semestinya beli sendiri, menyewa pun takpe.

Tapi, kau kena ingat, sampai masanya, isteri kau akan ajak untuk beli rumah sendiri. Kerana fitrahnya orang perempuan ni, mereka mahukan "security". Rumah sewa ni walau selesa macam mana pun, para isteri tetap mahukan rumah sendiri, walaupun sekadar rumah flat.

Untuk perlindungan kesihatan pun kena ada juga. Aku nasihatkan walaupun sekarang ni kau ada "medical benefit" dari pihak majikan, tak siapa tahu apa yang bakal berlaku pada masa depan. Aku tahu ada je syarikat yang mengalami kerugian, dan terpaksa menarik balik semua faedah yang ada.

Pastikan setiap anak ada "medical card". Siapa tahu lepas ni kot kau nak berhenti kerja, kemudian mulakan bisnes. Kalau lepas berhenti, tiba-tiba anak kau sakit dan perlu masuk wad, macam mana?



Memanglah hospital kerajaan tu ada, tapi kau kena faham yang hospital-hospital ini juga ada kelemahan yang tak perlu dihuraikan.

Simpanan kecemasan tu mesti ada. Mesin basuh rosak. Tayar kereta dah botak. "Roadtax" dan lesen memandu mati. Tiba-tiba ada kecemasan perlu pulang ke kampung. Pakaian kelengkapan sekolah anak koyak. Macam-macam perbelanjaan yang tak boleh nak dielakkan.

Bab kahwin, jangan nak fikir pasal seronok je bro. Tanggungjawab mencari dan memberi nafkah tu terletak di bahu suami. Isteri ni sekadar membantu je.

"Tapi bang, gaji saya kecik je. Tak mampu nak sediakan semua tu."

Kau tu kan lelaki. Kudrat lelaki ni memang Tuhan dah ciptakan lebih kuat berbanding seorang perempuan. Zaman sekarang kau tak boleh bergantung pada satu sumber pendapatan je. Buatlah dua tiga kerja, sampai keluar air mata darah sekalipun.

Kerja keras. Bukan untuk orang lain, untuk anak isteri kau juga. Tak cukup hari biasa, gunakan masa pada hujung minggu untuk tambah pendapatan.

Jaga hubungan dengan Sang Pencipta. Doa kepada Tuhan itu penting. Jaga solat. Amalkan membaca Al-Quran, terutamanya surah Al-Waqiah. Solat Dhuha.

Ada orang pernah cakap kat aku. Kau hensemlah macam mana pun. Baik dan pandai melayan anak-anak ke. Tapi semua tu tak boleh guna untuk bayar bil utiliti.

Berpijaklah di dunia realiti. Kos sara hidup sekarang memang perit. Mulakan simpanan daripada sekarang.

Ibrahim Musa
Sedang berusaha menjadi suami dan bapa yang lebih baik.


No comments:

Post a Comment

Close