Seorang wanita dan bayinya nyaris maut digilis kereta selepas motosikal yang ditunggangnya terjatuh akibat bergesel dengan sebuah kereta Proton Wira.
Dalam kejadian pada jam 5.42 petang Selasa di Jalan Kulim, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, mangsa cedera di bahagian muka, pergelangan tangan dan beberapa bahagian badan yang lain, manakala bayinya selamat dan dipercayai mengalami kecederaan ringan.
Berdasarkan rakaman video dashcam kereta saksi, mangsa yang sedang menunggang motosikal di bahagian kiri jalan tiba-tiba digesel kereta Proton Wira sebelum terjatuh, topi keledar tercabut dan terseret di jalan raya.
Mangsa dan bayinya nyaris digilis kereta saksi, bagaimanapun sempat mengelak dan berhenti di tempat kejadian.
Pemandu Proton Wira itu kemudian dilihat berhenti tidak beberapa jauh dari tempat kejadian, namun sumber mendakwa pemandu kereta terbabit sehingga kini masih belum dapat dikesan.
Kedua-dua mangsa kemudian dibantu oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital berhampiran dengan Ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk mendapatkan rawatan.
Para penunggang motosikal dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan memakai topi keledar pada diri dan pembonceng bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Pemandu kereta juga usah memandu terlalu rapat dengan motosikal kerana sebarang pergeselan yang berlaku boleh menyebabkan penunggang motosikal terbabas dan hilang kawalan sehingga menyebabkan kemalangan.
No comments:
Post a Comment